Info

Pengurusan Risiko Kebakaran Di Tempat Kerja

Kebakaran akan berlaku jika terdapat keempat-empat unsur ini – oksigen, bahan bakar, haba dan tindakbalas berantai (chain reaction). Dalam usaha mencegah kebakaran, kesemua unsur ini perlu dipisahkan. Oleh kerana

oksigen berada di mana-mana, pencegahan kebakaran adalah lebih kepada mengawal bahan bakar dan haba atau memisahkan kedua-duanya. Tiga kategori bahan yang boleh mengakibatkan kebakaran adalah:

 

Flammable – Mudah terbakar

Combustible – Terbakar bila terkena sumber haba

Explosive – Mudah meletup.

 

Akta yang berkaitan adalah Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 dan Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

 

a) Kesan Risiko Hazard Kebakaran Di Tempat Kerja Kepada Keselamatan dan Kesihatan

Kebakaran boleh mengakibatkan kecederaan, kematian dan kemusnahan harta benda.

 

b) Kaedah Pencegahan Risiko Hazard Kebakaran Di Tempat Kerja

• Mematuhi segala arahan pencegahan kebakaran yang disediakan oleh majikan.

• Jauhkan bahan-bahan mudah terbakar daripada punca api (Cth: mancis, pemetik api) atau haba.

• Bersihkan tumpahan bahan mudah terbakar dengan segera.

• Pastikan bekas bahan-bahan mudah terbakar dilabel dengan jelas.

• Simpan bahan-bahan mudah terbakar di kawasan yang mempunyai pengalihan udara yang baik.

• Tidak merokok apabila berada di kawasan yang mempunyai

bahan-bahan mudah terbakar.

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia

 


Info

Pengurusan Risiko Hazard Biologi

Hazard biologi berpunca daripada organisma termasuk mikroorganisma (Cth: Hepatitis B dan C, HIV), haiwan (Cth: ular, tikus, nyamuk) dan tumbuhan (Cth: pokok rengas) yang boleh menyebabkan kemudaratan

kesihatan manusia.

 

Pekerja yang mengendalikan hazard biologi seperti spesimen darah atau bendalir tubuh berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan merbahaya seperti Hepatitis B, C atau HIV). Pekerja yang mengendalikan haiwan dan

sisa haiwan turut terdedah kepada risiko hazard biologi.

 

a) Cara Pendedahan Hazard Biologi Mikroorganisma:

Terserap: Agen hazard biologi masuk melalui kulit ke dalam tubuh. (Cth: melalui luka di kulit atau melalui selaput mukus).

Tertusuk: Agen hazard biologi masuk melalui media tajam ke dalam tubuh. (Cth: tercucuk jarum yang tercemar dengan darah mengandungi Hepatitis B, C atau HIV).

Termakan: Agen hazard biologi masuk ke dalam tubuh melalui mulut. (Cth: kemasukan melalui merokok, makan atau minum tanpa membersihkan tangan).

Terhidu dan tersedut Aerosol: Agen hazard biologi yang terampai di udara memasuki tubuh melalui sistem pernafasan.

(Cth: virus selsema dan batuk kering (tuberkulosis)).

 

b) Kesan Risiko Hazard Biologi Kepada Keselamatan Dan Kesihatan

Bergantung kepada jenis biohazard, mangsa boleh mengalami jangkitan penyakit, kecederaan dan maut.

 

c) Kaedah Pencegahan Risiko Hazard Biologi

• Mendapatkan maklumat mengenai bahaya hazard biologi yang ditangani atau yang bakal dihadapi.

• Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat berkaitan dengan hazard biologi.

• Sentiasa mengamalkan standard precaution dalam tugasan harian.

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia


Info

Pengurusan Risiko Hazard Bunyi Bising

Bunyi bising adalah hazard fizikal yang boleh mengakibatkan kemalangan akibat gangguan pendengaran. Pendedahan kepada bunyi yang melebihi aras 85dB(A) untuk tempoh 8 jam memerlukan tindakan kawalan pendengaran.

 

Akta berkaitan: Peraturan Kilang dan Jentera (Pendedahan Bunyi Bising) 1989.

 

a) Kesan Risiko Hazard Bunyi Bising Kepada Keselamatan dan Kesihatan

Bunyi bising boleh mengganggu komunikasi di antara pekerja hingga mengakibatkan kesilapan pemahaman dan seterusnya kesilapan mematuhi arahan yang diberikan. Akibatnya kemalangan boleh terjadi. Bunyi bising juga boleh mengakibatkan kehilangan pendengaran yang kekal jika dos bunyi bising melebihi had yang dibenarkan. Rujuk Peraturan Kilang Dan Jentera (Pendedahan Bunyi Bising ) 1989.

 

b) Kaedah Pencegahan Risiko Hazard Bunyi Bising

• Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat yang melibatkan hazard pendedahan bunyi bising

di dalam Program Pemuliharaan Pendengaran (Hearing Conservation Programme).

• Memakai dan menyelenggara kelengkapan atau pakaian perlindungan peribadi yang dibekalkan oleh majikan

dengan betul.

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia


Info

Pengurusan Risiko Hazard Kekemasan (housekeeping) Tempat Kerja

Persekitaran tempat kerja yang tidak dijaga dengan baik seperti lantai yang licin dan tidak rata, berlubang atau retak, barang atau bahan yang bersepah di kawasan kerja boleh mengakibatkan risiko hazard kekemasan tempat kerja.

 

Akta berkaitan: Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Peraturan-Peraturannya; Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Peraturan-Peraturannya.

 

a) Kesan Risiko Hazard Kekemasan (Housekeeping) Tempat Kerja Kepada Keselamatan dan Kesihatan

Kemalangan yang berkaitan dengan hazard kekemasan tempat kerja ini mengakibatkan cedera ringan akibat tergelincir atau terjatuh (seperti terseliuh) atau kesan yang lebih dahsyat (seperti patah tulang dan maut).

 

b) Kaedah Pencegahan Risiko Hazard Kekemasan Tempat Kerja

• Risiko hazard ini boleh diatasi dengan mengamalkan kekemasan (housekeeping) yang baik.

• Mengamalkan prinsip 5S (Seiri, Seito, Seisi, Seikatsu dan Shitsuke), iaitu semak, susun, sapu/suci, standard dan disiplin.

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia


Info

Pengurusan Risiko Hazard Mekanikal

Hazard mekanikal melibatkan dedahan anggota badan kepada bahagian mesin dan jentera yang bergerak. (Cth: hazard ini termasuk hempapan, himpitan, terpotong, tikaman, tusukan dan lain-lain).

 

Perundangan yang boleh diguna pakai untuk mencegah risiko hazard mekanikal adalah Akta Kilang Dan Jentera 1967 dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan dengannya.

 

a) Kesan Risiko Hazard Mekanikal Kepada Keselamatan dan Kesihatan

 

Kemalangan yang berkaitan dengan hazard mekanikal ini mengakibatkan cedera ringan (seperti calar dan terseliuh) atau kesan yang lebih dahsyat (seperti hilang anggota dan maut).

 

b) Kaedah Pencegahan Risiko Hazard Mekanikal

 

• Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat berkaitan dengan pemasangan, penggunaan,

pengendalian dan penyelenggaraan mesin dan jentera.

• Memastikan setiap mesin dan jentera diselenggara di dalam keadaan yang selamat, bebas daripada risiko

hazard mekanikal dan mematuhi kehendak perundangan berkaitan.

• Memastikan setiap operator mesin dan jentera yang ditetapkan oleh perundangan mempunyai sijil kompetensi

(cth: boiler man dan crane operator).

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia


Info

Pengurusan Risiko Sinaran

Sinaran terbahagi kepada dua: Sinaran mengion dan sinaran tidak mengion (Rajah 2d). Kedua-dua jenis sinaran ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

 

           Rajah 2d : Jenis Sinaran

 

Akta berkaitan: Penggunaan sinaran mengion dikawal oleh Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan dengannya. Semua jenis pekerjaan yang melibatkan penggunaan sinaran mengion dan lain-lain yang telah ditetapkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom hendaklah terlebih dahulu

dilesenkan.

 

a) Kesan Risiko Sinaran Mengion Kepada Keselamatan dan Kesihatan

 

Pendedahan Akut – Pendedahan kepada dos tinggi dalam tempoh masa yang singkat. Boleh menyebabkan

kelecuran sinaran dan maut.

Pendedahan Kronik – Pendedahan kepada dos rendah dalam tempoh masa yang panjang. Ianya terbahagi

kepada dua:

       • Kesan Somatik: Kesan kepada individu terdedah. (Cth: barah, kecacatan anak yang dikandung).

       • Kesan Genetik: Kesan kepada keturunan atau baka.

 

b) Kaedah Pencegahan Risiko Sinaran Mengion

 

• Setiap pekerjaan yang menggunakan sinaran mengion (yang dihasilkan oleh mesin sinaran atau daripada

radionuklid) hanya boleh dilakukan oleh individu yang telah dilatih mengenai protokol kerja selamat berkaitan

dengan sinaran mengion.

• Prinsip perlindungan sinaran mengion berikut hendaklah digunakan di dalam semua protokol kerja selamat dan

semasa bekerja:

 

i. Perisai: Menggunakan perisai yang betul untuk melindungi diri daripada sinaran misalnya:

 

      • Zarah alfa (a ) tidak memerlukan perisai untuk mengurangkan dos sinarannya sebaliknyamemerlukan kelengkapan perlindungn peribadi untuk mencegah ia masuk ke dalam tubuh.

      • Zarah beta (b ) boleh dihalang dengan menggunakan perspek atau aluminium setebal 6mm

      • Sinar gama (g) dan X boleh dihalang dengan menggunakan perisai yang dibuat daripada

plumbum dengan ketebalan yang sesuai.

 

ii. Masa: Memendekkan masa dedahan kepada radiasi bagi mengurangkan dos yang diterima

 

iii. Jarak: Menjauhkan diri dari punca sinaran untuk mengurangkan dos yang diterima.

     • Setiap pekerjaan yang melibatkan punca sinaran mengion hendaklah dilakukan di dalam kawasan yang telah ditetapkan mengikut protokol pengkelasan kawasan kerja. Kawasan kerja ini hendaklah dilabel dengan tanda hazard sinaran Trifoil (Rajah 2e).

 

Rajah 2e - Label tanda hazard sinaran mengion (Trifoil)

 

     • Pekerja wanita yang hamil perlu dipindahkan ke bahagian lain yang tidak terdedah kepada sinaran mengion atau radionuklid.

 

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia

 

 

 


Info

Pengurusan Risiko Suhu Tinggi

Tempat kerja yang terlalu panas samada bekerja di lapangan atau di dalam bangunan berhaba bukan sekadar menyebabkan ketidakselesaan tetapi boleh meningkatkan risiko kemalangan akibat kekejangan otot, heat exhaustion dan maut.

 

a) Kesan Risiko Suhu Tinggi Kepada Keselamatan dan Kesihatan

 

Ruam panas atau prickly heat: Berlaku disebabkan kelenjar peluh tersumbat dan akibatnya peluh terkumpul.

Heat Cramps (Kejang otot akibat haba): Kebiasaannya terjadi pada tangan, kaki dan bahagian perut. Biasa terjadi selepas kuat berpeluh dan tidak meminum air dengan  mencukupi.

Heat Syncope: Tidak sedar secara tiba-tiba. Berlaku akibat dari tekanan darah yang terlalu rendah. Selalunya

terjadi selepas menjalankan kerja berat secara berterusan. Kulit menjadi dingin dan melekit manakala denyutan nadi pula lemah.

Heat Exhaustion: Tanda-tanda termasuklah kepenatan, pening, kulit yang lekit (clammy skin), kuat berpeluh,

hilang selera makan, loya dan sakit pada bahagian perut. Tanda-tanda ini timbul apabila badan kehilangan terlalu banyak air ketika menjalankan aktiviti fizikal yang kuat di kawasan bersuhu tinggi.

Heat Stroke: Badan kehilangan keupayaan untuk menyejukkan diri sendiri. Akibatnya suhu badan

meningkat, nadi menjadi cepat, hilang orientasi, kebingungan, tekanan darah menurun, tidak sedar dan

koma. Masalah ini memerlukan rawatan perubatan yang segera kerana boleh menyebabkan kematian.

 

b) Kaedah Pencegahan Risiko Suhu Tinggi

 

• Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat berkaitan dengan pekerjaan di dalam persekitaran

suhu tinggi.

• Melakukan kerja pada waktu yang kurang panas seperti awal pagi, senja, waktu malam atau pada hari-hari sejuk.

• Membiasakan diri dengan kepanasan secara beransuransur (acclimatization) – waktu pekerja terdedah kepada

persekitaran kerja yang panas ditingkatkan secara beransur-ansur. Ini memberi peluang kepada tubuh untuk

menyesuaikan diri dengan persekitaran panas secara berperingkat.

• Meminum air dengan lebih kerap bagi menggantikan air yang banyak hilang melalui peluh.

• Menggunakan alat pendingin udara untuk mengurangkan hazard haba dalam bangunan dan kenderaan.

• Mesin-mesin yang menghasilkan haba perlu mempunyai sistem pengudaraan untuk mengurangkan haba

berlebihan.

• Mengurangkan masa pendedahan melalui penggiliran pekerja.

• Berehat seketika antara waktu kerja di tempat sejuk seperti di bilik berhawa dingin atau sekurang-kurangnya di

tempat teduh antara waktu kerja.

• Mengelakkan daripada meminum minuman berkafein dan/ atau beralkohol kerana ia boleh menyebabkan

kehilangan lebih banyak air.

• Mengelakkan penggunaan pakaian berwarna gelap kerana sifatnya yang menyimpan haba.

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia


Info

Pengurusan Risiko Hazard Elektrik

Kuasa elektrik boleh mencederakan dan membunuh. Ini boleh terjadi akibat daripada:

• Sentuhan dengan bahan atau pendawaian elektrik yang hidup mengakibatkan renjatan elektrik, terbakar dan kebakaran.

• Pendawaian dan peralatan elektrik yang rosak dan boleh mengakibatkan renjatan elektrik, terbakar dan kebakaran.

• Bahan atau dawai elektrik menjadi sumber nyalaan di persekitaran mudah terbakar atau mudah meletup. Akibatnya berlakunya kebakaran atau letupan.

 

Risiko kemalangan akibat daripada hazard elektrik bergantung kepada bagaimana dan di mana bahan atau wayar elektrik itu digunakan. (Cth: Kawasan yang basah dan kawasan yang sesak adalah lebih berisiko untuk terjadinya kemalangan).

 

Akta Berkaitan: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1994; Akta Kilang dan Jentera 1967 (Dikuatkuasakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Dikuatkuasakan oleh Jabatan Bekalan Elektrik).

 

Kaedah Pencegahan Hazard Elektrik

• Menggunakan peralatan elektrik yang bersesuaian dan selamat.

• Menggunakan peralatan keselamatan tambahan bagi meningkatkan keselamatan sistem elektrikal.

• Menjalankan penyelenggaraan berkala ke atas sistem elektrikal.

• Mendapat latihan dan mematuhi protokol kerja selamat dalam penggunaan, pengendalian atau penyelenggaraan peralatan elektrik dan punca elektrik lain.

• Melakukan pendawaian hanya selepas mendapat sijil kompetensi yang berkaitan.

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementeriaan Kesihatan Malaysia


Info

Pengurusan Risiko Hazard Kimia

Bahan kimia bermaksud bahan-bahan yang bersifat racun, merengsa, memeka (sensitizer), menghakis, karsinogenik, mudah terbakar atau mudah meletup. Apabila bahan kimia ini tertumpah, terpercik, terhidu atau termakan ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada pekerja dan

persekitarannya.

 

Berikut adalah takrif bahan kimia dan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan mengikut peraturan-peraturan:

 

Bahan Kimia – Sebatian atau campuran daripadanya samada asli atau tiruan tetapi tidak termasuk mikroorganisma.

Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan – Mana-mana bahan kimia yang:

 

• Disenaraikan dalam Jadual I atau II. Peraturan-PeraturanKeselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000.

• Mempunyai mana-mana sifat yang dikategorikan dalam Bahagian B Jadual I Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pembungkusan dan Pelabelan Bahan Kimia Berbahaya) 1997.

• Terdapat dalam takrif racun makhluk perosak di bawah AktaRacun Makhluk Perosak 1974.

• Disenaraikan dalam Jadual Pertama Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 1989.

 

a) Kesan-kesan Bahan Kimia Kepada Keselamatan dan Kesihatan

 

• Kesan akut – Kesan akut adalah kesan jangka pendek yang lazim berlaku pada dos yang tinggi dan jangka masa pendek. (Cth: Menghakis kulit (corrosive), menyebabkan kerengsaan (irritant) atau memeka kulit (sensitize) selepas atau sebaik sahaja berlakunya pendedahan).

• Kesan kronik – Toksik kepada sistem pernafasan, hati, ginjal, reproduktif atau saraf cth: kegagalan hati, kegagalan paru-paru.

• Karsinogenik – Boleh menyebabkan barah.

 

b) Kaedah Pengurusan Risiko Kimia:

 

• Mengenal pasti bahan kimia berbahaya di tempat kerja dengan melakukan pemeriksaan di tempat kerja.

• Mewujudkan daftar bahan kimia yang ada di tempat kerja secara komprehensif.

• Mendapatkan maklumat keselamatan dan kesihatan bahan kimia daripada:

 

Maklumat bahan kimia boleh didapati dari:

• Daftar Bahan Kimia

• Risalah Data Keselamatan Kimia (CSDS – Chemical Safety Data Sheet):

• CSDS adalah dokumen yang boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat keselamatan dan kesihatan tentang satu-satu bahan kimia.

• CSDS terkini bagi setiap bahan kimia wajib ada di tempat kerja.

• CSDS ditulis dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan dalam bahasa-bahasa lain yang diperlukan.

• Mendapatkan latihan dan mematuhi protokol kerja selamat dalam menjalankan aktiviti penggunaan bahan kimia.

• Mengikuti program pendidikan dan latihan.

 

c) Kandungan Program Latihan Bagi Keselamatan Kimia

 

• Kuantiti, lokasi, kaedah penggunaan, penyimpanan dan pelupusan bahan kimia.

• Kaedah operasi yang melibatkan pendedahan bahan kimia.

• Kaedah mengenal pasti dan mengukur bahan kimia yang terbebas ke persekitaran.

• Kesan bahan kimia kepada kesihatan.

• Program pemantauan – tujuan dan penerangan.

• Pengawasan perubatan – tujuan dan penerangan.

• Tindakan susulan – sekiranya pekerja mempunyai tanda dan gejala pendedahan kepada bahan kimia.

• Penggunaan kelengkapan atau pakaian perlindungan peribadi (PPE) – fungsi, penggunaan yang betul, had penggunaan PPE.

• Maklumat berkenaan bahaya kebakaran semasa mengendalikan bahan kimia tertentu, kesan akut dan langkah kecemasan.

• Maksud tanda amaran dan label pada bahan kimia.

• Hak pekerja – kemudahan untuk mendapatkan maklumat berkenaan bahan kimia yang dikendalikan, pengawasan perubatan.

• Latihan kaedah kecemasan sekiranya terjadi kemalangan kimia serta rawatan kecemasan.

 

Info daripada Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan Malaysia